SEJARAH PENUBUHAN


SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TUNKU BESAR

       SMK Tunku Besar Tampin ditubuhkan pada tahun 1924. Sekolah ini mula ditubuhkan dengan sebuah kelas dan 40 orang pelajar lelaki. Pada waktu itu, sekolah ini dikenali sebagai Government English School. Selain itu, sekolah ini terletak berhampiran kediaman Pegawai Pendidikan Daerah Tampin.

            Pada tahun 1928, sekolah ini telah berpindah ke Kelab Rekreasi dengan bilangan kelas bertambah kepada 4 buah (darjah 4) dan 5 orang tenaga pengajar. Kemudian, pada akhir tahun, sekolah ini telah berpindah ke bangunan Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Besar sekarang. 

            Pada tahun 1928, Jepun telah mengambil alih sekolah ini dan sekolah ini telah dijadikan sebagai Hospital Tentera untuk merawat tentera mereka yang mengalami kecederaan. Lantaran itu, semua murid diarahkan supaya berpindah ke bangunan kayu yang berhampiran dengan Rumah Rehat Tampin.

            Pada tahun 1945, Hospital Tentera telah ditukarkan kepada sekolah semula dan dikenali sebagai Reconstruction Class. Bilangan pelajar sekolah meningkat sebanyak 100 orang.

            Bilangan pelajar meningkat kepada 400 orang pada tahun 1949. Ekoran itu, sebahagian Rumah Rehat dijadikan sebagai bilik darjah. Mata pelajaran Sains telah diperkenalkan pada masa itu. Selain itu, kelas tingkatan 1 ditubuhkan.

            Pada tahun 1953, pelajar kelas menengah sekolah ini telah dipindahkan ke bangunan baru iaitu sekolah ini. Namun begitu, setelah 2 tahun barulah sekolah ini diberi nama iaitu SMK Tunku Besar Tampin dan dirasmikan oleh YTM Tunku Besar Tampinpada 1 Julai 1953.

            Pada tahun 1963, mula berlaku banyak perubahan. Antaranya, sebuah asrama dan 10 kelas dibina dan setahun kemudian, satu bangunan mengandungi dua buah bengkel seni perusahaan, tiga bilik Sains Rumah Tangga dan sebuah makmal kaji kajian dibina.

            Pada tahun 1974, sebuah dewan besar telah dibina yang kekal hingga ke hari ini. Pavilion pula dibina dua tahun kemudian. Tidak lama kemudian, satu bangunan  yang mengandungi tiga makmal Sains dan sebuah perpustakaan telah dibina.

            Bukan itu sahaja, empat gelanggang tenis berserta sebuah bangunan yang mengandungi tujuh kelas, satu pusat sumber, satu perpustakaan, satu bilik kaunseling, satu bilik rawatan dan satu bilik seni  telah dibina pada akhir tahun 1980. Satu lagi kemudahan telah ditambah di sekolah ini pada tahun 1990 iaitu Indoor Hockey Pitch.

            Setelah sekian lama,akhirnya penantian berakhir apabila Asrama Puteri dibina pada tahun 1992 tetapi, penggunaannya terhad kepada pelajar sekolah ini sahaja. Walau bagaimanapun, asrama itu kemudiannya dijadikan  asrama  pusat yang menempatkan pelajar aliran agama Sekolah Menengah Kebangsaan Tampin.

            Pada tahun 1999, bangunan empat tingkat baru dibina lagi iaitu yang mengandungi enam belas buah kelas, satu makmal komputer, satu bilik guru dan satu pejabat. Setahun sebelum itu,bangunan utama telah dirobohkan.

            Pada tahun 2002, sebuah surau baru  dibina diikuti garaj  kereta setahun kemudian. Setelah mendapat sedikit peruntukkan, sebuah makmal komputer telah dibina beserta padang hoki Astroturf.

            Perubahan pelajar telah menyebabkan keperluan terhadap komputer bertambah. Oleh itu, sebuah makmal kompueter telah dibina dan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Utama Hj.Mohammad Bin Hj Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus pada tahun 2005.

            Pada tahun 2007, Pusat Akses Komputer telah dibina selaras dengan Hari ICT Negeri. Semua warga SMK Tunku Besar juga mempunyai Smart Card masing-,masing. Sekolah juga turut melancarkan system jaringan internet tanpa wayar dengan jarak 1 km radius dan laman web sekolah ke arah membudayakan ICT dalam kalangan warga sekolah.  
               
              Pada tahun 2009 , sekolah telah mendapat 2 buah bangunan baru iaitu bangunan MPV dan juga blok baru Pra U. Bangunan MPV ini dibina seiring dengan hasrat kerajaan untuk melaksanakan mata pelajaran MPV di sekolah harian. Sehingga kini iaitu 2013, telah ada 3 buah kelas MPV.

                  Selaras dengan hasrat kerajaan untuk membentuk masyarakat minat membaca , pada tahun 2009 juga , program Khidmat Bantu PSS peringkat Negeri Sembilan telah diadakan di sekolah. Sekolah ini telah dipilih sebagai sekolah yang bertuah menerima program Khidmat bantu di mana beberapa pegawai daripad BTP Negeri serta pihak PKG beberapa daerah telah datang ke sekolah dalam usaha membantu memberi khidmat meningkatkan peranan PSS di sekolah.
        
                  Seterusnya galeri sekolah telahpun dibangunkan dengan jayanya dengan usaha daripada semua warga sekolah. Sehingga kini galeri sekolah yang pernah memenangi Pertandingan Galeri peringkat Negeri Sembilan pada tahun 2011 telah mendapat sambutan hangat dikalangan bekas alumni serta warga tempatan. Pelbagai usaha naik taraf telah diadakan dan Galeri Sekolah mampu mengukir nama sebagai Galeri Sekolah terulung di Negeri Sembilan yang menjadi tanda aras kepada Galeri Sekolah di negara ini.